YUSOFF berpendapat setiap pasukan berhak tentukan klausa pelepasan pemain. FOTO/NSTP
Nazri Abu Bakar


MELAKA: Setiap pasukan berhak menentukan klausa pelepasan tanda harga pemain bagi mengelak pemain terlepas kepada pasukan lain menerusi 'rundingan belakang'.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, langkah Selangor meletakkan tanda harga kepada pemain pertahanan kebangsaan, Syahmi Safari adalah wajar dan boleh diikuti mana-mana pasukan yang belum berbuat demikian.

Katanya, perkara itu perlu bagi memastikan kepentingan kelab atau pasukan yang bertungkus-lumus mencungkil bakat dan kemahiran pemain masing-masing.

"Malah, ia juga memberi perlindungan kepada mana-mana usaha 'pintu belakang' atau rundingan di luar pengetahuan persatuan.

"Dalam pasaran terbuka bola sepak profesional, setiap pasukan bebas menentukan klausa penetapan untuk pelepasan pemain mereka. Perkara ini jarang berlaku dan ia satu kejutan dalam bola sepak negara.”

“Justeru, sudah tiba masanya langkah perundangan setiap pasukan diberi perhatian serius," katanya yang juga mahu nilai harga adalah munasabah dan berpatutan.

Sementara itu, Mohd Yusoff berkata, Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) juga bakal menetapkan klausa pelepasan pemain yang membarisi skuad itu, termasuk pemain Liga Belia dan Piala Presiden bermula musim ini.

Beliau yang juga Timbalan Presiden MUSA berkata, tanda harga juga bertujuan melindungi pemain dan persatuan daripada sebarang tindakan mana-mana ejen atau perbincangan di luar pengetahuan.

Akhbar hari ini melaporkan, Syahmi diletakkan pada tanda harga RM6 juta oleh majikannya, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS). Nilai itu bagi klausa pelepasan pemain berkenaan yang ditetapkan badan induk bola sepak Selangor bagi musim ini sebagai langkah awal bagi mengelak ia menjadi sasaran pasukan lain yang ingin memikatnya menerusi 'rundingan belakang'.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 3:51 PM