PASUKAN kapal layar, melakukan latihan penyesuaian sebagai persediaan untuk saingan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) ke-17 yang bermula esok. FOTO/IHSAN KELAB PERAHU LAYAR DIRAJA LANGKAWI
Sukhairi Thani
sukhairi@nstp.vom.my


KUALA LUMPUR: Kejuaraan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) edisi ke-17 bakal membuka tirai di perairan Langkawi minggu ini dengan 35 bot dari pelbagai negara bertarung merebut gelaran juara.

Dianjurkan Royal Langkawi Yacht Club (RLYC), kejuaraan kali ini dilihat lebih meriah dengan gabungan jurumudi perpengalaman dan juga muka baharu dari 10 negara seperti Australia, Perancis, Denmark, Jepun Singapura dan juga Malaysia.

Mereka akan berentap dalam tujuh kelas dipertandingkan, antaranya kelas utama Racing yang memburu trofi Cabaran Perdana Menteri, IRC 1 , IRC 2, Sportsboat, Club Cruising, Multihull, Ocean Rover dan White Sail.

Piala untuk kelas utama perlumbaan bakal disampaikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Patron RLYC pada malam kemuncak kejuaraan, 12 Januari ini. 

Pengurus Besar RLYC, Tayfun Koksal berkata, kejuaraan itu sekali lagi menyediakan cabaran buat komuniti pelayaran terutamanya peserta yang mengambil bahagian.

"Kami menyasarkan untuk membawa acara ini ke peringkat lebih hebat dan meletakkan Malaysia terutamanya Langkawi sebagai lokasi pelayaran terunggul dan meningkatkan lagi promosi pelancongan sukan di negara ini," katanya.

Untuk rekod, juara bagi kelas Racing dimenangi pasukan THA72 yang dikemudi Kevin Whitcraft bersama bapanya, Tom Whitcraft.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 4:13 PM