NATHAN JONES
NATHAN JONES
AFP

LONDON: Stoke City semalam mengumumkan Nathan Jones sebagai pengurus baharu mereka menggantikan Gary Rowett yang dipecat Selasa lalu.

Pengendali berusia 45 tahun dari Wales itu membuktikan kemampuannya apabila mengemudi Luton Town naik dari divisyen empat musim lalu dan kini dalam pemburuan tempat ke Liga Kejuaraan.

“Dengan sukacita kelab ingin mengesahkan Nathan Jones adalah pengurus baharu Stoke City,” menurut Stoke dalam satu kenyataan.

“Kami sudah lama mengikuti perkembangan karier Nathan dan apabila berjumpa dengannya kami amat kagum dengan wawasannya yang jelas dan bagaimana beliau mahu mencapai kejayaan di Stoke,” kata pengerusi kelab Peter Coates dan naib pengerusi, John Coates.

Tugas Jones kini adalah membimbing Stoke kembali ke Liga Perdana Inggeris – cabaran yang semakin sukar walaupun kelab itu berbelanja besar hujung musim lalu.

“Kelab ini mempunyai tradisi yang amat menarik, ia sudah mempunyai struktur Liga Perdana,” kata Jones.

“Saya percaya pelantikan saya adalah untuk tempoh yang lama, saya mahu memenangi perlawanan dan saya mahu menerapkan budaya serta falsafah yang dapat dibanggakan.”

Rowett dipecat ketika kelab itu ketinggalan lapan mata di belakang slot playoff dan 14 mata di bawah Norwich City yang menduduki tempat kedua untuk kenaikan automatik ke Liga Perdana.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 12:02 PM