PERTAHANAN import Kedah, Renan Alves (tengah) dan Shakir Hamzah (kanan) mengekang asakan Kelantan pada aksi persahabatan pramusim di Stadium Mini Universiti Utara Malaysia, Sintok, semalam. Kedah menang 4-1. - FOTO/Ihsan KFA
Izzali Ismail


ALOR SETAR: Pengendali Kedah Aidil Sharin Sahak yakin kemenangan 4-1 dalam aksi persahabatan menentang Kelantan di Stadium Mini Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok semalam membuktikan falsafah menyerang yang cuba diterapkan mula meresapi corak permainan anak buahnya.

Fernando Rodriguez meledak dua gol, Zaquan Adha dan Renan Alves masing-masing menyumbang satu gol dan gol tunggal Kelantan dijaringkan oleh Mustafa Zazai.

"Alhamdulillah..pemain mula memahami peringkat demi peringkat berkaitan falsafah permainan termasuk corak serangan dan apa yang saya mahukan dalam perlawanan,” kata pengendali dari Singapura itu.

“Beberapa gol yang kita hasilkan dalam separuh masa pertama melihatkan mereka telah melakukan perkara yang betul. Kita perlu menjaringkan gol dan saya menyukai corak permainan menyerang.

“Saya harap pemain-pemain dapat terus meningkatkan kefahaman dan kerja keras semua pemain penting untuk mencapai kejayaan."

Menyentuh aspek keserasian pula Aidil yakin pemainnya tidak menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri termasuk pemain import yang pertama kali beraksi dengan pemain tempatan.

"Saya melihat semua pemain import kita berusaha keras termasuk Jonatan Bauman yang baru tiba tiga hari lalu selepas mengharungi tempoh perjalanan 34 jam. Dengan keadaan cuaca berbeza di sini, ia bukan sesuatu yang mudah," katanya

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 3:01 PM