REZAL (kanan) menjelaskan penetapan klausa pelepasan adalah satu langkah positif dalam usaha semua pasukan Liga M menjaga pemain masing-masing. FOTO/NSTP
Zulfaizan Mansor
zulfaizan@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menyifatkan tiada masalah buat mana-mana pasukan untuk menetapkan nilai klausa pelepasan dalam kontrak pemain mereka.

Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahya menjelaskan penetapan klausa pelepasan adalah satu langkah positif dalam usaha semua pasukan Liga Malaysia (Liga M) menjaga pemain mereka.

Beliau berkata, perkembangan itu menunjukkan semua pasukan semakin faham mengenai kepentingan menjaga aset mereka selain membuktikan bola sepak tempatan bergerak ke arah lebih profesional.

"Sebelum ini kita cuma kerap dengar mengenai penebusan kontrak saja, jadi sekarang ini sudah ada klausa pelepasan dan ia satu perkara yang bagus," kata Rezal.

"Malah, kita tengok ada pasukan yang tetapkan klausa hingga RM6 juta dan RM12 juta, bermakna pasukan jelas mengenai kepentingan aset mereka. Secara tak langsung ia juga akan menaikkan semangat pemain kerana mereka tahu nilai mereka.

"Pemain lain juga mungkin lebih bersemangat bagi memastikan pasukan menetapkan harga mereka. Jadi, bagi saya benda itu (nilai klausa pelepasan) tidak menjadi satu masalah."

Klausa pelepasan Akhyar Rashid ditetapkan pada kadar RM12 juta oleh Johor Darul Ta'zim (JDT), manakala Selangor pula meletakkan harga RM6 juta ke atas tonggak pertahanan, Syahmi Safari.

Sebelum ini, perpindahan Akhyar menjadi kontroversi selepas Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan yang ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ke atas pemain berusia 19 tahun itu.

Selain itu, Rezal turut menjelaskan penetapan nilai klausa pelepasan juga dilihat menjadi salah satu langkah dalam mengelak timbulnya masalah berbangkit sekiranya pasukan ingin memancing pemain yang masih ada kontrak dengan pasukan lama.

"Benda ini sekarang jelas, maksudnya mana-mana pasukan ingin mendapatkan seorang pemain, mereka perlu mengeluarkan perbelanjaan atau membayar jumlah yang sudah ada dalam kontrak. Jadi, mungkin tiada lagi isu perlu dibangkitkan selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 5:42 PM