INSIDEN Mueller dilayangkan kad merah selepas menerjah kepala pemain Ajax. FOTO/AGENSI
AFP

BERLIN: Bayern Munich berkata, mereka akan merayu terhadap hukuman penggantungan dua perlawanan Liga Juara-Juara ke atas Thomas Mueller yang menyebabkan pemain antarabangsa Jerman itu terlepas kedua-dua aksi peringkat 16 terakhir menentang Liverpool.

Badan bola sepak Eropah, UEFA menetapkan hukuman itu selepas Mueller diperintah keluar padang ketika seri 3-3 menentang Ajax pada aksi terakhir peringkat kumpulan bulan lalu.

Mueller kali pertama dilayangkan kad merah secara terus dalam kariernya selepas menendang kepala pertahanan Ajax, Nicolas Tagliafico.

Pemain berusia 29 tahun itu terpaksa melupakan aksi di Anfield pada 19 Februari tetapi Bayern berharap rayuan itu diterima UEFA bagi membolehkan dia beraksi di Allianz Arena pada 13 Mac.

Mueller meminta maaf dan menegaskan dia hanya mahu menyepak bola.

"Tidak, sudah tentu saya tak sengaja melakukannya,” kata Mueller kepada wartawan tetapi jurulatih Bayern, Niko Kovac berkata layangan kad merah itu adalah keputusan yang betul. Mueller menjaringkan lima gol dan mencipta enam bantuan jaringan dalam 25 perlawanan di semua kejohanan musim ini.

Seperti Mueller, pemain tengah Ajax, Maximilian Woeber turut dihukum gantung dua perlawanan akibat terjahan kasar ke atas pemain Bayern, Leon Goretzka dalam perlawanan sama.

Woeber turut terlepas kedua-dua aksi peringkat 16 terakhir menentang juara bertahan, Real Madrid.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 9:09 PM