KANE menahan kesakitan selepas cedera sambil menerima rawatan daripada pegawai perubatan. FOTO/AFP
KANE menahan kesakitan selepas cedera sambil menerima rawatan daripada pegawai perubatan. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Pengendali Tottenham Mauricio Pochettino berkata dia bimbang masalah besar bakal menimpa pasukannya selepas Harry Kane terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan buku lali ketika kekalahan 1-0 kepada Manchester United di Wembley awal pagi tadi.

Kane cedera selepas bertembung dengan pertahanan United Phil Jones di saat-saat akhir permainan di mana pasukan pelawat bertahan bermati-matian untuk mengekalkan kelebihan satu gol.

Pochettino berkata dia akan memantau kecergsasan Kane, dengan pemain 25 tahun itu akan menjalani siri pemeriksaan dalam tempoh beberapa hari ini manakala pemain Korea Selatan Son Heung-min terpaksa dilepaskan untuk mengharungi Piala Asia bersama negaranya.

“Sudah tentu jika Harry Kane cedera ia akan menjadi masalah besar buat kami. Itu yang merisaukan saya, merisaukan kami semua,” kata Pochettino.

“Ia terjahan yang tidak sepatutnya di saat-saat akhir oleh pemain Manchester United. Ia bukan berniat jahat, tetapi ia terjahan yang kasar.

“Sekarang ini ia (buku lali Kane) bengkak, kami perlu menilainya dalam beberapa hari lagi. Saya harap ia bukan isu besar tetapi dia terincut-incut keluar padang.”

Pochettino menganggap persembahan anak buahnya di babak kedua sebagai antara yang terbaik sepanjang dia bersama kelab utara London itu, walaupun jaringan Marcus Rashford di babak pertama meletakkan skuadnya kini sembilan mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool.

“Dalam tempoh empat setengah tahun, itu adalah aksi terbaik Tottenham pernah saya saksikan. Babak kedua adalah persembahan terbaik daripada pasukan saya. Bagi saya ia menakjubkan,” katanya.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 9:13 AM