SERENA mahu menyamai rekod Margaret. FOTO/AFP
AFP

MELBOURNE: Serena Williams akan memulakan kempen menyamai rekod 24 gelaran Grand Slam milik Margaret Court hari ini, apabila kembali ke Melbourne Park buat kali pertama selepas memenangi gelaran itu pada 2017, ketika hamil lapan minggu. 

Pemain Amerika Syarikat (AS) berusia 37 tahun itu tidak mahu terlalu menonjolkan diri pada aksi pembukaan Grand Slam pertama tahun ini dan mengelak untuk menghadiri sebarang sidang media pra pertandingan.

Ini kerana, Serena mahu memberi fokus kepada permainannya dan dilihat sudah bersedia untuk merangkul gelaran juara yang kelapan di Melbourne Park. 

Diletakkan sebagai pilihan ke-16, dia akan membuka tirai dengan menentang pemain Jerman, Tatjana Maria di Rod Laver Arena dalam keadaan cuaca panas.

Namun, bagi Court, merasakan perasaan gementar mungkin akan melemahkan usaha Serena menyamai rekod Grand Slam yang ke-24 dan tidak menolak kemungkinan akan berlaku kejutan di kejohanan kali ini. 

"Pertandingan kali ini terbuka dan orang luar boleh memenanginya," kata legenda Australia itu. 

Sebelum ini, Serena beraksi dalam acara pemanas badan di saingan pasukan campuran Piala Hopman di Perth, awal bulan ini.

Namun, penampilan hari ini adalah pertandingan pertama dalam siri jelajah, sejak kejatuhan prestasi apabila tewas di final Terbuka AS kepada Naomi Osaka, September lalu. 

Sementara itu, pemain lelaki nombor satu dunia, Novak Djokovic yang turut mahu melakarkan rekod kemenangan ketujuh Terbuka Australia akan memulakan kempen menentang pemain AS, Mitchell Krueger.

Gelaran pertama Terbuka Australia yang diraih pemain Serbia itu hadir selepas dia menewaskan pemain Perancis, Jo-Wilfried Tsonga pada 2008.

Dia kemudiannya memenangi lima gelaran selepas itu dan terbaru menewaskan Andy Murray pada 2016.

Finalis acara wanita tahun lalu, yang juga pemain nombor satu dunia, Simona Halep akan menentang Kaia Kanepi di Arena Margaret Court. 

Simona kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan dengan pemain harapan tuan rumah, Nick Kyrgios akan menentang pilihan ke-16 dari Kanada Milos Raonic.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 11:47 AM