HUGO LLORIS
AFP

LONDON: Hugo Lloris mengakui Tottenham kini perlu berwaspada terhadap pasukan yang turut mengejar kedudukan empat teratas Liga Perdana.

Spurs dianggap pencabar kejuaraan tulen selepas mengharungi perjalanan menakjubkan tetapi sejurus mengharungi dua kekalahan daripada tiga perlawanan - terakhir kepada Manchester United minggu lalu - peluang mereka untuk mengejar Liverpool atau Manchester City mula terbantut.

Kelab dari London itu kekal di tangga ketiga liga tetapi hanya dibezakan dengan satu mata oleh Chelsea dan tujuh mata di belakang skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer dan Arsenal yang masing-masing menghuni tangga kelima dan keenam.

Sekali pun Spurs dilabel sebagai antara pencabar kejuaraan beberapa minggu lalu, Lloris yang juga penjaga gol Perancis berkata layak ke saingan Liga Juara-Juara musim depan kekal keutamaan kelab itu.

“Kami masih terbabit dalam empat kejohanan tetapi perkara yang utama adalah menamatkan saingan liga di kedudukan empat terbaik,” kata kapten Tottenham itu.

“Kami mengatakannya sejak daripada awal musim dan kami tidak mengubah pendirian kami. Sudah tentu, semua orang bercakap mengenai pasukan di depan tetapi apa yang penting adalah tetap berwaspada terhadap pasukan di belakang kerana dalam bola sepak, sesuatu boleh berubah dengan amat pantas.”

Selepas membuat kunjungan ke Fulham, Ahad ini, Spurs akan bertemu Chelsea dalam aksi kedua Piala Liga selepas meraih kelebihan susulan kemenangan 1-0 pada aksi pertama sebelum bermain menentang Crystal Palace dalam kempen Piala FA.

Tottenham kemudian akan menanti kunjungan kelab Jerman, Borussia Dortmund dalam aksi peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara pada 13 Februari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 12:53 AM