SETIAUSAHA Agong FAM, Stuart Ramalingam. FOTO Mahzir Mat Isa
SETIAUSAHA Agong FAM, Stuart Ramalingam. FOTO Mahzir Mat Isa
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bersetuju untuk membantu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memperkemas statut, peraturan dan kod tatatertib persatuan itu.

Perkembangan itu disahkan Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Stuart menjelaskan usaha itu antara langkah awal bagi pelaksanaan Peta Hala Tuju F:30 membabitkan tadbir urus yang berkaitan dengan polisi iaitu pemindaan statut.

Katanya, FAM menghantar permohonan kepada AFC bagi mendapatkan bantuan pakar perundangan badan induk bola sepak Asia itu bagi melakukan kajian semula tadbir urus FAM.

“Sokongan dan tunjuk ajar daripada pakar perundangan itu diperlukan FAM bagi mengemas kini, memperbaiki, menyusun serta memperkukuhkan statut, peraturan dan kod tatatertib sedia ada untuk memenuhi tuntutan semasa bagi menepati piawaian antarabangsa dan amalan tadbir urus terbaik.

“Ia bagi memastikan statut, peraturan dan kod tatatertib FAM berada selari dengan kemaskini terbaharu daripada AFC mahupun Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sekali gus dapat mengelak daripada berlakunya isu atau pertikaian terhadap sesuatu peraturan.

“Justeru AFC menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Windsor John menjawab permohonan FAM itu dan menyatakan kesediaan mereka untuk memberi bantuan serta sokongan pakar kepada FAM bagi memperkasakan statut, peraturan dan kod tatatertib,” kata Stuart.

Pada masa sama, Stuart menjelaskan AFC turut mencadangkan supaya mesyuarat pertama dapat diadakan selepas Piala Asia 2019, 1 Februari ini bagi membincangkan hal itu.

“FAM berharap usaha dan langkah yang dilakukan ini dapat menjawab permintaan daripada industri bola sepak di negara ini yang mahukan statut, peraturan dan kod tatatertib FAM sedia ada dikemas kini dan diberi penambahbaikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 9:04 PM