KETUA jurulatih Tenaga Nasional Berhad, Nor Saiful Zaini Nasiruddin. FOTO Hairul Anuar Rahim
KETUA jurulatih Tenaga Nasional Berhad, Nor Saiful Zaini Nasiruddin. FOTO Hairul Anuar Rahim
Naqib Nor Said


KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Tenaga Nasional Berhad, Nor Saiful Zaini Nasiruddin menasihatkan pemain mudanya supaya mengawal emosi apabila turun berdepan pasukan ‘Galacticos’ Liga Hoki Malaysia (LHM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Stadium Tengku Abdullah, Bangi, esok.

Kelebihan awal nyata milik UniKL menjelang aksi ketiga liga itu, selepas mereka berjaya mengikat pemain import ternama dunia seperti Robbert Kemperman dan Valentin Verga dari Belanda selain berjaya mengekalkan khidmat penjaga gol nombor satu dunia David Harte dari Ireland untuk kempen kali ini.

“Saya rasa ini bukan pertemuan ‘buku dan ruas’, UniKL ternyata lebih kuat dan pasukan lengkap, mereka diperkuatkan enam import dengan dua daripadanya pemain skuad Piala Dunia 2018 Belanda.

“Malah, mereka juga turut diperkuatkan kehadiran pemain kebangsaan seperti Razie Rahim, Marhan Jalil dan Sukri Mutalib selain Najmi Farizal Jazlan yang juga pernah beraksi buat Malaysian Tigers,” katanya.

Biarpun Nor Saiful kekal merendah diri, namun setakat ini mereka menjadi pasukan yang masih mengekalkan rentak kemenangan selepas menang dua aksi pertama ke atas UiTM 4-1 dan Nur Insafi 10-0 sekali gus berada di puncak liga.

Malah, rekod pertemuan terakhir turut menyebelahi skuad ‘utiliti’ itu selepas berjaya membaham UniKL 3-0 pada separuh akhir dalam laluan mereka menjuarai Piala Tan Sri P Alagendra, dua minggu lalu.

Namun, situasi berbeza dijangka menanti TNB esok, selepas kali ini skuad kendalian Arul Selvaraj tampil dengan barisan lengkap apabila semua enam importnya sudah tiba sejak minggu lalu.

Justeru Nor Saiful mengingatkan pemain terutamanya pemain muda supaya kekal tenang dan cuba fokus pada perlawanan tanpa memikirkan status pemain gergasi lawan.

TNB musim ini membariskan skuad gabungan 10 pemain kebangsaan bersama pemain remaja negara sekali gus mempunyai pemain yang berkualiti di bangku simpanan yang menjadi pemisah mereka dengan dua pencabar utama UniKL dan Pasukan Hoki Terengganu (THT).

“Ya, memang kami tidak terjejas setiap kali melakukan pertukaran pemain kerana pemain muda kami juga bagus, ini hasil daripada program pembangunan berterusan TNB.

“Ia bukan baharu, dulu pun ada hasil... tapi ‘hasil’ kami banyak lari ke pasukan lain, untuk kali ini ramai pemain memilih untuk kekal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 9:52 PM