ADLY Zahari (lima dari kiri) bersama pengurusan Melaka United serta pemain import mereka termasuk Liridon Krasniqi (empat dari kanan). FOTO Rasul Azli Samad.
Nurul Fhatihah Zakinan


MELAKA: Pemain kelahiran Kosovo, Liridon Krasniqi sah menyarung jersi Melaka United selepas menandatangani kontrak selama setahun dengan Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), sekali gus menamatkan spekulasi pasukan pilihannya.

Selain bekas tonggak import Kedah itu, tiga lagi pemain import turut menandatangani kontrak iaitu pertahanan dari Korea Selatan, Jang Suk Won, pemain tengah dari Montenegro, Darko Markovic dan penyerang dari Brazil, Anselmo Casagrande.

Presiden MUSA yang juga Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, kehadiran empat pemain import berpengalaman itu akan memperkasakan lagi Melaka bagi mengharungi saingan Liga Super.

Katanya, MUSA meletakkan harapan besar kepada pemain untuk menjadi pasukan terbaik dengan disokong komitmen jurulatih dan pengurus.

“Kami yakin boleh membina pasukan terbaik dengan penilaian terhadap pemain sentiasa ditambah baik.

“Beberapa inisiatif sudah dijalankan sebagai langkah memperkukuh dan memperkuatkan pasukan antaranya mengadakan perlawanan persahabatan di peringkat tempatan dan antarabangsa. Walaupun tempoh agak singkat (menjelang Liga Super), saya yakin banyak lagi perkara boleh ditambah baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani kontrak pemain Melaka di pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri, hari ini.

Adly berkata, isu kebajikan pemain dan jurulatih selain prestasi pengurusan pasukan turut menjadi keutamaan kerajaan negeri.

“Semua faktor itu sudah diambil kira. Bukan saja gaji tapi juga soal kebajikan pemain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 2:05 PM