KRALJEVIC. FOTO Syamsi Suhaimi
Attirmidzie Rahman


PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) melantik bekas jurulatih kelab Balestier Khalsa FC di Liga Singapura, Marko Kraljevic sebagai ketua jurulatih Kelantan, musim ini.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, jurulatih kelahiran Croatia diharap dapat membantu dalam merencana strategi lebih ampuh untuk mengembalikan semula kekuatan The Red Warriors (TRW).

Katanya, KAFA bersetuju mengikat kontrak Marko yang juga bekas pemain Kelantan (1991-1994) selama dua tahun untuk mengemudi TRW musim ini.

"Keputusan melantik Marko diharap mampu melonjakkan kembali prestasi TRW musim ini," katanya dalam majlis pelancaran jersi dan pengenalan barisan pemain di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad Ke IV, Kota Bharu, malam ini.

Sementara itu, KAFA melancarkan tiga warna jersi iaitu merah, putih dan biru sebagai warna rasmi pasukan itu musim ini.

Skuad TRW musim ini turut diperkuat bekas penyerang Pahang dan Melaka United, Fauzi Roslan.

Sementara, pemain import pula terdiri daripada Cassio Francisco De Jesus (Brazil), Flavio Beck (Brazil), dan Mustafa Zazai (Afghanistan).

Untuk rekod, Marko memulakan karier sebagai jurulatih kelab Liga Singapura (Liga-S) pada 2012 dengan Woodlands Wellington selama dua tahun serta pernah mengemudi kelab Balestier Khalsa FC selama empat musim. 

Marko juga pernah menjulang Piala Liga S bersama Balestier Khalsa FC pada 2014.

Marko menjadi ketua jurulatih baharu TRW selepas Yusri Che Lah beralih angin mengemudi Kuala Lumpur, musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 11:46 PM