PEMAIN City meraikan kemenangan mereka. -Foto Reuters
AFP

LONDON: Pemburuan Manchester City bagi meraih empat trofi musim ini diteruskan apabila membelasah Burnley 5-0 untuk mara ke pusingan kelima Piala FA Inggeris, malam tadi.

Pengurus City, Pep Guardiola awal minggu ini menganggap usaha bagi menjulang empat trofi musim ini hanyalah fantasi tetapi selepas kejayaan mara ke final Piala Liga Inggeris pada aksi pertengahan minggu ini, City kini di landasan tepat menyapu bersih semua empat kejuaraan musim ini.

Anak buah Guardiola ketika ini bersaing hebat dengan Liverpool bagi perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris selain akan bertemu Schalke pada pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara.

“Sukar apabila pasukan seperti ini bermain dengan cara mereka tersendiri. Siapa yang akan menghalang mereka daripada memenangi semuanya jika mereka dalam mood yang baik?” kata pengurus Burnley, Sean Dyche.

Kekalahan itu menyaksikan Burnley kini mengalihkan fokus bagi memastikan mereka kekal dalam saingan liga utama manakala City pula mengukuhkan reputasi dengan menjaringkan 28 gol tanpa bolos dalam enam perlawanan terakhir.

“Setiap orang mahu bermain dan anda harus bermain dengan baik kerana lawan anda sentiasa berada pada tahap tertinggi,” kata Guardiola.

Gabriel Jesus meneruskan rentak cemerlang apabila membuka tirai jaringan buat City pada minit ke-23 - gol kelapannya dalam lima perlawanan.

Bernardo Silva meletakkan City selesa di depan apabila meledak gol kedua pasukan itu pada minit ke-52 sebelum pemain tengah Belgium, Kevin De Bruyne menjaringkan gol ketiga sembilan minit kemudian.

Pertahanan Burnley, Kevin Long menjaringkan gol sendiri pada minit ke-73 sebelum Sergio Aguero melengkapkan kemenangan City dengan gol kelima menerusi sepakan penalti pada minit ke-85.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 9:48 AM