X
SIBBICK (kiri) muncul wira Wimbledon benam West Ham. -Foto AFP
SIBBICK (kiri) muncul wira Wimbledon benam West Ham. -Foto AFP
AFP

LONDON: Gol sumbangan pemain gantian AFC Wimbledon, Toby Sibbick membantu kelab itu mengejutkan West Ham United 4-2 pada pusingan keempat Piala FA Inggeris, awal pagi tadi.

Pemain berusia 19 tahun itu turut menganggap kemenangan ke atas West Ham sebagai dendam yang sudah dibalas.

Wimbledon yang menghuni tangga tercorot saingan League One dan ketinggalan 58 tempat di belakang Hammers mendahului 2-0 sebelum rehat dan 3-0 sebaik babak kedua bermula dengan Scott Wagstaff meledak dua gol.

West Ham yang berada di kedudukan ke-10 Liga Perdana Inggeris cuba bangkit dengan merapatkan jurang 2-3 menerusi jaringan Lucas Perez dan Felipe Anderson.

Bagaimanapun, Sibbick yang masuk sebagai pemain gantian menanduk masuk gol bagi melengkapkan kemenangan kelab itu ketika perlawanan berbaki dua minit.

“Ia salah satu detik penting dalam kerjaya saya, menjaringkan gol menentang pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

“Kami fikir mungkin tidak bernasib baik dalam saingan Piala Liga (West Ham menjaringkan dua gol lewat bagi menewaskan Wimbledon 3-1, Ogos lalu), dan kemenangan ini berjaya melunaskan dendam kami,” kata Sibbick.

Sementara itu, Wagstaff memuji prestasi rakan sepasukan yang bermain dengan baik sepanjang perlawanan.

“Kami bermain dengan cemerlang. Ia kemenangan yang hebat buat kami - lihat kepada penonton, inilah yang kami perlu lakukan.

“Kami perlu pastikan kami lakukannya setiap minggu bermula dari sekarang. Ia belum cukup bagus untuk kami musim ini dan kami sedar perkara itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 9:54 AM