ZAHA (tengah) dikasari pemain Southampton. -Foto EPA
AFP

LONDON: Southampton dan Crystal Palace berjaya menjarakkan diri daripada zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris selepas kedua-dua pasukan mencatat keputusan seri 1-1, awal pagi tadi.

Keputusan itu menyaksikan kedua-dua pasukan kini mengumpul 23 mata selepas mengharungi 24 perlawanan – berkongsi mata dengan Burnley dan berkelebihan empat mata dengan penghuni tangga ke-18, Cardiff City.

Dalam aksi itu, James Ward-Prowse berjaya menyamakan kedudukan buat Southampton selepas Wilfred Zaha meletakkan Palace terlebih dahulu di depan.

Bagaimanapun, Zaha dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua pada lewat babak perlawanan – kedua-dua kad kuning diterimanya selepas mengasari Ward-Prowse dan kemudiannya mengejek pengadil, Andre Marriner.

Pengurus Palace, Roy Hodgson kecewa dengan tindakan penyerangnya itu tetapi enggan memberi sebarang alasan berhubung reaksi ditunjukkan pemain berkenaan selepas melakukan kekasaran.

“Reaksinya yang tidak mahu ‘foul’ diberikan biarpun jelas dia melakukan kesalahan – sudah pasti semua orang akan kecewa.

“Namun, saya tidak boleh membiarkan dia mengejek pengadil selepas menerima kad kuning – ia sesuatu yang tidak boleh kamu lakukan.

“Kami ada peluang dan itu tidak dinafikan terutamanya pada babak kedua,” kata Hodgson.

Zaha meletakkan pasukan pelawat di depan menerusi rembatan rendahnya dari dalam kotak penalti pada minit ke-41 sekali gus menewaskan penjaga gol Southampton, Alex McCarthy.

Ward-Prowse bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan buat Southampton menerusi rembatan voli dari jarak 10 meter pada minit ke-77.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 11:01 AM