MOHD HADIN AZMAN


KUANTAN: Bekas pemain Harimau Muda B, Hadin Azman dilantik selaku kapten FELDA United FC bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini. 

Pengalaman beraksi bersama The Fighters sejak 2015 membolehkan pemain berumur 25 tahun itu mengetuai kelab terutama memulakan aksi pembuka tirai Liga Super bertemu Selangor, Ahad ini. 

Pengendali The Fighters, Mohd Nidzam Jamil berkata, pemilihan Hadin itu berdasarkan pengalaman dimiliki terutama selepas sebahagian besar pemain kelab itu dibarisi pemain muda. 

"Saya percaya dengan kemampuannya dan dia juga begitu komited serta mampu menggalas tanggungjawab membawa cabaran buat kelab ini.  Begitu juga semua pemain yang diyakini membentuk persefahaman mantap kerana musim ini FELDA United dibarisi ramai pemain muda," katanya. 

Mengulas pertemuan dengan Selangor di Stadium Shah Alam pada Ahad ini, Mohd Nidzam berkata, tumpuan latihan sepanjang minggu ini lebih kepada taktikal.

"Pengalaman pemain senior juga penting untuk mengukuhkan pasukan antaranya Christie Jayaseelan, Jasazrin Jamaluddin dan juga pemain skuad bawah 23 tahun negara, Danial Amier Norhisham," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 1:48 PM