IMEJ bangkai pesawat yang disiarkan oleh AAIB hari ini.
Agensi

LONDON: Pasukan ‘pemburu kapal karam’ yang menemui bangkai pesawat membawa Emiliano Sala berkata adalah penting membawa keluar pesawat itu daripada dasar Selat Inggeris demi keluarganya selepas penyelam mendapati terdapat mayat di dalam bangkai pesawat itu.

Saintis Marin, David Mearns secara sukarela membantu keluarga Sala selepas usaha mencari oleh beberapa agensi menemui jalan buntu. Pasukannya berjaya menemui bangkai pesawat pada kedalaman 220 kaki di dasar laut.

Imej bangkai pesawat itu disiarkan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara Britain (AAIB) hari ini dan mendedahkan terdapat mayat sama ada Sala atau juruterbang David Ibbotson di dalamnya.

Mearns berkata: “Pesawat itu telah dijumpai dan sekarang lebih penting kita tahu ada mayat di dalamnya.”

Jurucakap AAIB berkata: “Tragiknya di dalam video diambil ROV terdapat satu mayat di dalamnya. AAIB kini menimbangkan langkah selanjutnya dan akan mengambil pandangan keluarga mereka dan polis.”

Imej terbaru itu memaparkan bahagian belakang sebelah kiri fiuslaj termasuk bahagian yang tertera nombor pendaftaran pesawat N264DB.

Belum ada keputusan dibuat untuk membawa bangkai pesawat itu ke permukaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 10:13 AM