PEMAIN Fiorentina, Luis Muriel (tengah) dan Napoli Kalidou Koulibaly (kiri) ketika perlawanan Serie A. FOTO EPA

AFP

MILAN: Napoli gagal memanfaatkan peluang merapatkan jurang dengan pendahulu Serie A, Juventus yang kini berada lapan mata di depan, selepas skuad kendalian Carlo Ancelotti itu terikat tanpa jaringan bertemu Fiorentina.

Penjaga gol Fiorentina, Alban Lafont mempamerkan aksi cemerlang menyelamatkan deretan percubaan pemain Napoli terutama menerusi Piotr Zielinski dan Dries Mertens, sekali gus menyaksikan Napoli mengharungi tiga perlawanan berturut-turut di tempat lawan tanpa sebarang jaringan.

“Kami hilang dua mata yang harus menjadi milik kami berdasarkan corak serangan yang dipamerkan pemain dari awal hingga tamat permainan,” kata Ancelotti.

“Daripada beberapa sudut, ia adalah persembahan yang sempurna, tetapi kami tidak cukup tajam di depan gawang dan terpaksa akur dengan hanya satu mata.”

Fiorentina mencatat keputusan seri buat kali ke-11 dalam 23 perlawanan musim ini. Peluang terbaik mereka hadir selepas rehat menerusi pemain tengah Perancis Jordan Veretout namun dinafikan oleh penjaga gol Napoli Alex Meret.

Inter Milan, di tangga ketiga, kembali mencatat kemenangan dengan Lautaro Martinez yang masuk sebagai pemain gantian menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-79 untuk kemenangan 1-0 di Parma.

Radja Nainggolan melakukan hantaran cantik kepada pemain Argentina itu untuk gol dan kemenangan liga pertama buat skuad kendalian Luciano Spalletti tahun ini.


Riccardo Gagliolo (kanan) dan Antonino Barillà (kiri) dari Parma mengasak pemain Inter Joao Mario (tengah) dalam aksi Serie A.

Inter memungut sembilan mata di belakang Napoli, dengan Roma dan Lazio di tangga keempat dan kelima selepas merakam kemenangan ke atas Chievo dan Empoli awal minggu ini.

Pasukan yang belum tewas Juventus dijangka tidak berdepan masalah apabila berkunjung ke Sassuolo awal pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 11:37 AM