TUN  Dr Mahathir  (tengah) menerima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup di Hotel W, Kuala Lumpur.  - FOTO Aizuddin Saad
TUN Dr Mahathir (tengah) menerima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup di Hotel W, Kuala Lumpur. - FOTO Aizuddin Saad
Saiful Affendy Sapran

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berharap perlumbaan berprestij Formula Satu (F1) kembali dianjurkan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

"Saya berharap perlumbaan F1 ini akan diteruskan pada masa depan dan akan kembali kepada zaman kegemilangannya bersama kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas menerima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup pada Majlis Anugerah PETRONAS SIC Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) malam ini.

Perdana Menteri yang menjadi pencetus kepada kewujudan SIC dan perlumbaan F1 berkata, beliau pada awalnya tidak pernah menjangkakan perlumbaan kali pertama dianjurkan pada 1999 itu mendapat sambutan hebat daripada peminat sukan permotoran tempatan.

"Tetapi seperti anda ketahui penerimaannya sangat baik dan rakyat Malaysia bukan saja hadir menyaksikan perlumbaan F1 di Sepang tetapi mula bersaing sebagai pelumba. Kini Malaysia sangat dikenali dalam sukan permotoran serta bidang kejuruteraan di sebalik kereta yang dapat kita saksikan. "Kita memperoleh banyak manfaat daripada perlumbaan di Sepang dan saya rasa wang yang dilaburkan untuk litar ini berbaloi kerana seluruh rakyat Malaysia dilihat berubah kerana sukan baru ini," katanya. Kontrak penganjuran perlumbaan F1 ditamatkan bermula tahun lalu.

Bekas Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak berkata, ia berikutan pulangan menurun yang semakin ketara kepada negara berbanding kos penganjuran perlumbaan itu.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira laporan dan pandangan SIC mengenai impak kewangan acara F1 kepada semua pihak berkepentingan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 12:24 AM