KEI NISHIKORI
AFP

ROTTERDAM, Belanda: Pilihan utama Kei Nishikori diuji kekentalan lawan sebelum berjaya mengetepikan cabaran Pierre-Hugues Herbert 3-6, 6-1, 6-4 di Terbuka Rotterdam awal pagi tadi.

Pemain nombor tujuh dunia dari Jepun itu memerlukan satu jam 15 minit untuk menyaingi pemain yang sebelum ini mara ke final di Montpellier, kira-kira 48 jam selepas bertemu Jo-Wilfried Tsonga.

Pilihan kedua Karen Khachanov, juara Masters Paris November lalu, dikejutkan pemain wildcard dari Belanda Tallon Griekspoor, 3-6, 6-3, 6-2.

Kekalahan itu membuatkan Khachanov gagal meraih sebarang kejuaraan di sini dalam ketiga-tiga percubaannya.

Sebaliknya kemenangan itu memberikan kejutan kedua buat pemain Belanda di ranking 211 dunia, setahun selepas menewaskan Stan Wawrinka untuk gelaran pertama di Jelajah ATP.

Bagi Nishikori, beliau tidak menjangkakan aksi sulung yang sukar di Rotterdam ketika berdepan pemain ranking ke-36 dunia dari Perancis.

“Ia bukan sesuatu yang mudah. Dia bermain tenis dengan baik dan servisnya juga hebat,” kata Nishikori.

“Saya berdepan masalah untuk membalas pukulannya dan sukar mendapatkan mata penting.

“Saya cuba kekalkan rentak permainan kerana permainan saya tidak begitu teruk. Saya hanya perlu kekal agresif.”

Nishikori akan berdepan Ernests Gulbis, yang menewaskan Marius Copil 6-2, 6-4.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 11:10 AM