PEMAIN tengah Chelsea Ross Barkley (kanan) meraikan jaringannya bersama Olivier Giroud dalam perlawanan pertama saingan kelompok 32 terbaik Liga Europa di Malmo, Sweden. FOTO AFP.
AFP

CHELSEA melakar kemenangan 2-1 di Malmo dalam perlawanan pertama saingan kelompok 32 terbaik Liga Europa di Malmo pagi tadi, sekaligus mengurangkan tekanan kepada jurulatih Maurizio Sarri.

Kemenangan Chelsea cukup penting sebagai membuktikan kebangkitan wakil England itu selepas siri kekalahan memalukan apabila tewas 4-0 kepada Bournemouth serta dibelasah Manchester City, 6-0 pada Ahad.

Ross Barkley memanfaatkan peluang kelekaan pertahanan tuan rumah untuk meletakkan Chelsea di depan ketika 30 minit beraksi dan Olivier Giroud menambah jaringan pasukan itu pada minit ke-58 sebelum gol lewat permainan Malmo memberi bekalan untuk pasukan itu berkunjung ke Stamford Bridge untuk perlawanan timbal balik minggu depan.

Chelsea berhadapan Manchester United dalam saingan Piala FA Isnin ini sebelum menentang City sekali lagi dalam final Piala Liga pada 24 Februari ini.


Jurulatih Chelsea Maurizio Sarri.

“Saya sangat gembira kerana kami beraksi dengan penuh keyakinan dan ia sememangnya bukan perlawanan yang mudah selepas melalui detik sukar pada perlawanan lepas (kekalahan kepada City),” kata Sarri.

“Saya fikir saya sentiasa berkeyakinan tetapi kadangkala kami mempunyai pendekatan yang salah dalam perlawanan jadi kami perlu berhati-hati dalam setiap perlawanan.

Sarri menyenaraikan pasukan terkuatnya, walaupun tanpa khidmat Gonzalo Higuain dan Eden Hazard yang berada di bangku simpanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 8:33 AM