HAMPIR empat bulan menanti, skuad Pahang akhirnya menerima imbuhan kemenangan berjumlah RM60,000 selaku juara Piala Emas Raja-Raja 2018.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Melayu Pahang (PBSMP), Nazeri Hussain berkata, pihaknya sudah mengagihkan imbuhan itu kepada 34 pemain dan pegawai bermula 10 Februari lalu.

"Menerusi pengagihan berkenaan, isu kelewatan pembayaran imbuhan dianggap selesai selepas pemain dan pegawai menunggu hampir empat bulan.

"Selaku juara, sebanyak RM40,000 diberi kepada pasukan manakala baki RM20,000 disalurkan kepada PBSMP berdasarkan perjanjian yang dipersetujui bersama," katanya.

Pada 28 Oktober lalu, akhbar The New Straits Times Press (NSTP) mendedahkan skuad Pahang menuntut Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBSMM) membayar segera hadiah kemenangan.

Pahang yang muncul juara selepas menewaskan Terengganu 1-0 pada aksi final di Temerloh 21 Oktober lalu, terkilan dengan kelewatan pembayaran itu.

Kelewatan pembayaran hadiah kemenangan RM60,000 itu tidak sepatutnya berlaku kerana kejohanan berkenaan sudah lama berakhir.

Kelewatan itu memberi kesan kepada pemain yang begitu mengharapkan imbuhan selepas membantu pasukan bergelar juara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 2:45 PM