Penyerang Juventus Cristiano Ronaldo menjaringkan gol kedua ketika mengatasi Frosinone, 3-0, dalam saingan Serie A.
AFP

CRISTIANO Ronaldo mencipta peluang kepada Paulo Dybala untuk menjaringkan gol pembukaan selain dia sendiri menyumbatkan gol serta penyudah gol daripada pemain pertahanan Leonardo Bonucci memastikan Juventus berada 14 mata mengatasi pencabar terdekatnya dalam Serie A ketika menewaskan Frosinone, 3-0, di Milan, pagi tadi.

Jurulatih Massimiliano Allegri tidak mahu pasukannya melepaskan peluang mencatat kemenangan mengatasi lawan yang berada di kedudukan dua terbawah liga itu.

Kemenangan itu menyuntik semangat gergasi Itali untuk berhadapan Atletico Madrid dalam perlawanan pertama aksi 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara minggu depan.

Dybala kembali beraksi di barisan depan dengan gandingan Ronaldo dan Mario Mandzukic tatkala pemain tonggak pertahanan Bonnucci dan Giorgio Chiellini kembali beraksi selepas pulih dari kecederaan.

“Pasukan semakin menunjukkan peningkatan dalam aspek kecergasan, ia adalah saat yang menentukan prestasi pasukan untuk musim ini,” kata Allegri.


Paulo Dybala (kanan) penjaring gol pertama Juventus. FOTO AFP

Juventus dalam rangka persediaan berhadapan Madrid minggu depan serta pertembungan pasukan di kedudukan teratas liga menentang Napoli di Stadium San Paolo pada 3 Mac ini.

“Kami terpaksa bergelut selepas rehat musim sejuk namun kini kami sudah bersedia untuk berhadapan saat penting untuk musim ini dalam saingan liga dan Liga Juara-Juara,” tambah Allegri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 9:08 AM