VAN Dijk (kiri) tidak dapat beraksi menentang Bayern. - FOTO AFP
AFP

KUBU Anfield semakin gagah sejak kedatangan pertahanan termahal dunia Virgil van Dijk tetapi ketiadaannya ketika menerima kunjungan Bayern Munich dalam aksi Liga Juara-Juara pasti meresahkan Jurgen Klopp.

Van Dijk digantung perlawanan pertama peringkat 16 terbaik pada awal pagi Rabu ini selepas mendapat tiga kad kuning dalam aksi kumpulan dan finalis tahun lalu itu mara ke saingan seterusnya menyingkirkan Napoli berdasarkan kelebihan jaringan.

Liverpool hanya sekali kalah dalam aksi Liga Perdana tetapi tewas tiga perlawanan menentang Napoli, Paris Saint-Germain dan Red Star Belgrade sekali gus menimbulkan keraguan mengenai kemampuan mereka membawa bekalan gol selesa ke Jerman untuk aksi peringkat kedua.

Tiga kemenangan di Anfield membolehkan mereka mara ke peringkat 16 terakhir. Van Dijk belum pernah tewas dalam 25 aksi Liga Perdana dan Liga Juara-Juara di tempat sendiri sebagai pemain Liverpool dan memastikan kubu mereka tanpa bolos dalam 16 perlawanan.

"Jelas dia tangkas memperkuatkan pertahanan, dia pemimpin bahagian belakang dan menjadi semakin penting kepada pasukan,” kata bekas kapten Liverpool, Sami Hyypia.

"Dia memberi keyakinan kepada pasukan dan mencetuskan inspirasi kepada pemain untuk beraksi dengan lebih baik.”

"Sukar mencari kelemahannya. Dia pertahanan tengah yang hebat.”

Ketiadaan pemain bernilai £75 juta (RM395 juta) itu memberi tamparan kepada Liverpool yang sebelum itu kehilangan Joe Gomez dan Dejan Lovren yang turut mengalami kecederaan.

Tanpa Van Dijk, mereka masih mempunyai Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane yang membawa Liverpool ke final Liga Juara-Juara musim lalu dan ketiga-tiganya perlu memastikan skuad Klopp membawa bekalan selesa untuk aksi kedua pada 13 Mac.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 12:00 PM