ARUL jangka cabaran sengit daripada Maybank esok.
ARUL jangka cabaran sengit daripada Maybank esok.
Saiful Affendy Sapran

MENANG ke atas Maybank, kejuaraan Liga Perdana pasti menjadi milik Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Itu saja perlu dilakukan UniKL esok dalam usaha mereka memenangi kejuaraan liga sekali gus menamatkan penantian selama sembilan tahun sejak menyertai kancah liga utama itu pada 2011.

Tanpa berselindung, pengendali UniKL, Arul Selvaraj berkata, hanya kemenangan dicari esok namun beliau mengingatkan anak buahnya supaya tidak terlalu memikirkan soal kejuaraan liga.

"Kami sudah berada pada tahap di mana kemenangan ke atas Maybank akan mengesahkan kami memenangi kejuaraan liga meskipun kami masih mempunyai satu lagi baki perlawanan bertemu TNB Thunderbolts pada Jumaat.

"Secara jujur kami tidak mahu memikirkan soal kejuaraan liga. Ia pasti akan dapat dicapai sekiranya kami memperoleh keputusan yang baik.

"Fokus kami tetap sama seperti perlawanan lain iaitu beraksi dengan bijak selain memperbaiki taktikal perlawanan dan set piece," katanya.

Jelas Arul, lima kemenangan berjaya diraih Maybank pada saingan liga membuktikan lawan mereka itu mampu saja melakar kejutan pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Tengku Abdullah, Bangi esok.

"Saya sememangnya jangkakan cabaran sengit daripada Maybank," katanya. Juara Piala TNB musim lalu itu menduduki tangga teratas liga dengan mengumpul 28 mata, satu mata mengatasi TNB tetapi masih berbaki dua perlawanan berbanding satu untuk TNB.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 2:29 PM