BEKAS atlet paracycling Mohamad Syazwan Roshdi. FOTO Owee Ah Chun
BEKAS atlet paracycling Mohamad Syazwan Roshdi. FOTO Owee Ah Chun
Saiful Affendy Sapran


PUTRAJAYA: Kisah sedih bekas atlet paracycling negara, Mohamad Syazwan Roshdi yang ‘terkandas’ ketika mencari pekerjaan di Singapura pantas mendapat simpati ramai.

Individu paling awal tampil ke depan untuk membantu adalah Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.

Meskipun tidak pernah mengenali Syazwan dan hanya mengetahui kisahnya menerusi laporan media, Megat berjanji akan membantu atlet berusia 22 tahun itu untuk mendapatkan pekerjaan sama ada di Negeri Sembilan atau Kuala Lumpur.

“Inisiatif ini adalah kerana saya menghargai jasa Syazwan mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

“Saya berharap dengan usaha kecil ini dapat sedikit sebanyak membantunya untuk meneruskan kehidupan. “Saya juga berharap agar Syazwan tidak putus asa dalam sukan berbasikal kerana dia masih muda dan mempunyai harapan yang cerah untuk pergi lebih jauh.

“Saya akan membantu dalam apa juga cara sekalipun agar Syazwan tidak meninggalkan arena sukan berbasikal negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Bekas pelumba trek negara, Mohd Rizal Tisin menerusi Arena Metro hari ini melaporkan kisah penderitaan Syazwan yang terpaksa tidur di surau dan tidak makan selama dua hari selepas ditipu kenalannya.

Syazwan mengharungi detik itu dalam usahanya untuk mencari pekerjaan di Singapura selepas kontraknya tidak disambung oleh Majlis Sukan Negara (MSN) bermula Disember tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 6:24 PM