Jurulatih Chelsea Maurizio Sarri. FOTO Reuters
AFP

Maurizio Sarri berkata dia tidak faham mengapa jawatannya di Chelsea berada dalam situasi genting ketika dia membandingkan dirinya dengan pengurus Manchester City, Pep Guardiola ketika mengharungi musim pertamanya.

Jurulatih dari Itali yang berusia 60 tahun yang masih bergantung kepada jawatannya mengalas tugas sejak tujuh bulan lalu, selepas kekalahan memalukan 6-0 kepada City sekaligus menyaksikan Chelsea keluar dari saingan memburu tempat dalam Liga Juara-Juara.

Begitupun, berbanding musim pertama Guardiola di City pada kempen 2015/16, Chelsea kendalian Sarri memenangi lebih banyak perlawanan pada tahap yang sama ketika ini.

Kejayaan demi kejayaan dimiliki Guardiola di Barcelona dan Bayern Munich mungkin memberinya lebih masa untuk ‘memperbaiki’ City yang berusaha untuk menjulang trofi Piala Liga buat kali kedua berturut-turut menentang Chelsea di Wembley, awal pagi Isnin ini.

Sejarah membuktikan Sarri tidak akan menerima layanan yang sama dengan Guardiola tetapi bekas pengurus Napoli itu turut memberi contoh pujian yang diperoleh pengurus Arsenal, Unai Emery pada penampilan sulung di Liga Perdana.

Sarri, dalam usaha memburu trofi pertama dalam karier pengurusannya, berkata : “Kami berada di final pertama musim ini. Kami hanya ketinggalan satu mata berbanding kedudukan empat terbaik, mengumpul mata yang sama dengan Arsenal dan (orang berkata) Arsenal melakukannya dengan baik.

“Prestasi kami lebih baik kerana kami berada di final, dan musim kami ketika ini dianggap bencana. Saya tidak memahaminya.

“Saya mahu kamu mengingatinya, pada musim lalu, pasukan ini meraih 70 mata, bukan 100. Dan pada musim panas lalu, kami mengubah segala-galanya. Jadi ia adalah satu masalah yang perlu diselesaikan. Ia bukannya mudah.”

Selain City, Chelsea juga menanti kunjungan Tottenham dalam kempen Liga Perdana, awal pagi Khamis ini dan Sarri memberi penjelasan dengan mudah.

“Dalam kerja saya, saya memerlukan keputusan. Tiada yang lain,” kata Sarri yang menggantikan tempat Antonio Conte, Julai lalu selepas Chelsea menamatkan saingan liga di tangga kelima.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 3:06 PM