AZIZUL ketika beraksi pada Kejohanan Lumba Basikal Asia di Nilai, tahun lalu. — FOTO Eizairi Shamsudin
Azlan Muhammad Zain


“MATA berganda, usaha berganda.”

Itu gambaran diberikan jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang dalam usaha memburu tiket Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan podium pada Kejohanan Trek Dunia di Poland bermula Rabu ini.

Saingan yang mengumpulkan jaguh seluruh dunia itu menjadi tumpuan kerana bukan saja menawarkan gelaran juara dunia namun mata yang ditawarkan berganda untuk menentukan ranking ke Olimpik Tokyo.

“Kali ini amat sengit kerana mata berganda yang ditawarkan untuk ranking Olimpik. Saya jangkakan tiada negara akan mempamerkan dominasi seperti dulu kerana lebih ramai pelumba terbaik dunia akan memberikan saingan,” jelas juara dunia keirin 2017 itu.

Azizul menggalas cabaran negara di Poland bersama Shah Firdaus Sahrom dan Fadhil Zonis dalam acara keirin, pecut individu dan berpasukan.

Velodrom di Pruszkow menjadi detik indah dalam kariernya apabila menghadiahkan pingat pertama negara pada Kejohanan Trek Dunia 2009 dengan perak dalam pecut individu manakala Rizal Tisin meraih gangsa dalam acara 1km ujian masa.

Bagaimanapun Azizul mengakui berwaspada untuk mengharungi cabaran pada edisi kali ini selepas teruk dijangkiti virus pada 2018 semasa kejohanan di Belanda yang menjejaskan persembahannya berlarutan hingga ke Sukan Komanwel.

“Saya rasa antara sebab jatuh sakit musim lalu adalah kerana keletihan kronik. Saya jarang mengambil cuti dan sentiasa berlatih secara berterusan. Selepas menerima nasihat doktor, saya membuat perubahan latihan dan waktu.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 8:29 PM