TSITSIPAS bersama tofi Terbuka Marseille. - FOTO AFP
AFP

BINTANG muda Greece, Stefanos Tsitsipas merangkul gelaran kedua Jelajah ATP selepas menewaskan pemain Kazakhstan, Mikhail Kukushkin 7-5, 7-6(5) di Terbuka Marseille, awal pagi tadi.

Pemain berusia 20 tahun itu meneruskan kecemerlangannya bermula pada awal tahun ini termasuk mara ke separuh akhir Terbuka Australia.

"Menjuarai kejohanan ini sesuatu saya idamkan, kepuasan tidak terhingga dalam sukan tenis,” kata Tsitsipas yang menjuarai ATP pertamanya di Stockholm tahun lalu.

"Banyak tekanan perlu dihadapi minggu ini kerana saya perlu hadapi beberapa pemain yang bagus. Apabila anda terlalu memikirkannya, anda akan lebih tertekan daripada biasa dan saya gembira melepasinya dan dapat bermain dengan cara saya.”

Tsitsipas sebelum itu tewas dua aksi terakhir kepada Gael Monfils dan Damir Dzumhur tetapi muncul juara di Marseille tanpa keciciran sebarang set.

"Saya kehilangan momentum selepas Terbuka Australia dan saya hampir putus asa selepas sukar mendapatkannya semula,” kata Tsitsipas.

"Minggu ini boleh dikatakan saya mendapat semangat baru dan saya harap ia kekal kerana terdapat ramai pemain yang bagus dan beraksi untuk mendapatkan hadiah yang sama.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 1:52 PM