PEMAIN Kedah, Renan Alves (kanan) melarikan bola daripada penyerang PJ City, Pedro Henrique di Petaling Jaya, Jumaat lalu. — FOTO BERNAMA
Izzali Ismail


KETUA jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak mahu pemainnya kekal fokus memburu kemenangan pada aksi seterusnya dan mengelak kelekaan ketika pasukan itu mengungguli carta Liga Super selepas empat perlawanan.

“Saya tak mahu pemain dibuai mimpi indah hingga memberi kesan terhadap fokus pasukan yang mahukan semua pemain bekerja keras memburu kejayaan sepanjang musim ini.

“Walaupun kami kini di puncak liga dan memberi saingan hebat dalam perlawanan sebelum ini, ia sudah berlalu dan apa yang lebih penting adalah fokus perlawanan seterusnya kerana semua pasukan sedang berusaha memintas kami.

“Masih terlalu awal untuk memperkatakan mengenai kedudukan semasa walaupun kami berada di tangga teratas liga kerana kami perlu melihat dan membuat perancangan dari satu perlawanan ke satu perlawanan.”

PEMAIN Lang Merah meraikan jaringan Fernando Rodriguez (dua kanan) pada aksi menentang PJ City, minggu lalu. — FOTO BERNAMA

Aidil yang berjaya mengubah corak permainan Kedah lebih pantas musim ini berbanding musim lalu yakin benteng pertahanan pasukan itu yang setakat ini cuma dibolosi satu gol semakin yakin ketika beraksi.

“Saya cuba mengatasi kelemahan di benteng pertahanan dan musim ini kami melakukan perancangan termasuk menyenaraikan Shakir Hamzah, Renan Alves dan Alif Yusof yang bergandingan dengan Rizal Ghazali bagi memantapkan lagi posisi pertahanan.

“Saya harap pemain dapat meningkatkan momentum permainan seperti ditunjukkan sebelum ini bagi aksi akan datang dan tidak menganggap mudah untuk mana-mana perlawanan sekalipun.”

Kedah kini mendahului Johor Darul Ta’zim dengan perbezaan jaringan di puncak Liga Super selepas meraih 10 mata susulan tiga kali menang dan sekali seri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 10:11 PM