SAMB FC menyertai Liga M3 musim ini. — FOTO Facebook SAMB FC
BERNAMA

EMPAT bekas pemain Perlis, Fakhrullah Rosli, Yusri Abas, Sabri Adam dan Jasmir Mehat membuat keputusan menyertai pasukan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) FC bagi saingan Liga M3 musim ini.

Pengurus SAMB FC, Fairullizam Ishak berkata, pemain itu yang juga anak jati negeri itu ditawarkan kontrak semusim selepas mereka meninggalkan pasukan Singa Utara.

“Kami hanya memantau keadaan pemain dari jauh selepas mendengar desas-desus masalah dihadapi dan sebagai pasukan profesional kami hanya membuat tawaran selepas mereka tidak lagi bersama pasukan itu serta kontrak mereka terlerai secara rasmi susulan tunggakan gaji selama dua bulan.

“Mereka menandatangani kontrak sejak 18 Februari lalu dan kehadiran pemain ini bersama kami bukan asing dalam arena bola Melaka kerana mereka pernah mewakili pasukan sama pada saingan Liga FAM, malah Jasmir pernah bekerjasama dengan saya sejak Piala Presiden 2012,” katanya di Melaka, hari ini.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam kenyataannya 20 Februari lalu mengumumkan mengenai pembatalan penyertaan skuad Singa Utara selepas meneliti secara terperinci dokumen kewangan yang diserahkan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) pada 18 Februari.

Fairullizam berkata, semua pemain itu juga menyatakan rasa gembira mereka kerana masih mendapat tawaran selain dapat terus bermain bola sepak demi kelangsungan kerjaya mereka.

Pihaknya juga tiada masalah buat pemain itu menjadikan SAMB FC sebagai platform untuk mengembangkan bakat dan karier mereka seterusnya mendapat tawaran daripada pasukan lebih baik pada masa depan.

“Bagi persediaan musim ini, sudah tentu kehadiran mereka akan menjadi nilai tambah kepada SAMB FC yang akan memulakan saingan Liga M3 musim ini bulan depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 10:05 PM