Azlan Muhammad Zain
azlanmz@mediaprima.com.my


KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David (gambar) akan terus ‘menghantui’ pencabarnya dalam lima lagi kejohanan di Jelajah PSA (Persatuan Skuasy Profesional) sebelum menggantung raket untuk selama-lamanya.

Ia dimaklumkan Nicol selepas kecundang pada pusingan ketiga Kejohanan Dunia PSA 2018/2019 di Chicago, Amerika Syarikat (AS), semalam.

Menurut atlet berusia 35 tahun itu, dia akan menyertai Terbuka CIB Black Ball (11-15 Mac di Mesir), Terbuka DPD (9-14 April di Belanda), Terbuka Antarabangsa El Gouna (17-27 April di Mesir), Terbuka Manchester (9-13 Mei di Manchester) dan Terbuka British (20-26 Mei di Hull).

“Saya akan terus berlatih dan memberikan semua yang termampu dalam baki lima kejohanan ini. Saya akan menikmati baki kejohanan tahun ini seperti yang dilakukan pada kejohanan ini.

“Sejak 20 tahun lalu, skuasy semakin berkembang. Saya benar-benar teruja,” katanya di laman sesawang kejohanan.

Terdahulu Nicol tewas kepada pemain kelima dunia, Camille Serme dari Perancis dalam aksi empat set (11-9, 4-11, 4-11, 5-11) dalam tempoh 41 minit.

“Saya fikir penting untuk menang set pertama dan selepas itu saya memberikan sebaik mungkin namun apabila terlalu memaksa ia akan membuatkan anda melakukan kesilapan. Dia banyak membaca pukulan saya.

“Saya cuba bangkit namun sudah terlambat. Pujian kepadanya kerana dia juga bermain dengan baik,” kata pemain kelahiran Pulau Pinang itu.

Pemain ranking ke-21 dunia yang mengumumkan akan bersara penghujung musim Jelajah PSA iaitu Jun depan adalah juara dunia sebanyak lapan kali pada 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 8:01 AM