ZONJIC (kiri) membentes Wander Luiz pada final Piala Malaysia, Oktober lalu. — FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Malik Muhamad


PERTAHANAN Terengganu FC (TFC), Igor Zonjic yang terkesan dengan isu tarian melampau pemain import Perak, Wander Luiz dan Leandro Dos Santos pada final Piala Malaysia musim lalu berharap mereka tidak mengulangi taktik kotor itu.

Pemain dari Montenegro itu juga menggesa dua pemain Perak itu bersikap profesional serta bermain bola sepak apabila dua finalis itu bertembung semula pada aksi Liga Super di Kuala Terengganu, malam esok.

“Semua peminat tahu dan masih ingat mereka menggunakan taktik kotor... mereka lebih suka berlawan daripada bermain bola sepak, tapi kali ini kami bermain di laman sendiri di depan ribuan penyokong, saya percaya kami boleh menang.

“Walaupun insiden itu masih lagi saya ingati, saya akan memberikan aksi terbaik dan bermain secara profesional bagi memastikan kami mampu mengutip tiga mata buat kali kedua.

“Saya juga tuntut pemain Perak itu bermain serta bersikap profesional dengan tidak melakukan sebarang provokasi melampau seperti aksi final musim lalu,” ujar Zonjic.

Pada final Piala Malaysia di Shah Alam musim lalu, peminat bola sepak negara menyelar tindakan tidak profesional Wander Luiz dan Leandro yang meraikan gol penyamaan dengan aksi tarian keterlaluan di depan Zonjic.

Peminat mendakwa tindakan import The Bos Gaurus itu satu bentuk penghinaan bukan saja kepada pemain TFC tetapi juga kepada penyokong bola sepak negara ini kerana ia bukan budaya tempatan selain memalukan kerana ditonton jutaan peminat dalam dan luar negara.

Insiden itu berlaku selepas Zonjic tertampan bola masuk ke gawangnya sendiri ketika masa tambahan berbaki seminit.

Pada perlawanan penuh kontroversi itu, skuad Penyu mendahului 2-0 pada babak pertama namun terpaksa menerima hakikat tewas 1-4 menerusi penentuan penalti selepas kedudukan terikat 3-3 hingga masa tambahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 10:08 PM