Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak (kiri) memberi penerangan kepada anak buahnya selepas selesai menjalani latihan. FOTO NSTP
Izzali Ismail


BEKAS pemain Kedah dan bekas Jurulatih skuad bawah 17 tahun (B-17) Perlis, Akmal Rizal Ahmad Rakhli menjangkakan skuad Kedah yang menduduki tempat teratas carta Liga Super ketika ini bakal mendapat tentangan hebat dari tiga lagi pasukan iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT), Pahang dan PKNS FC.

Beliau yang juga pengulas sukan untuk Liga Malaysia berkata, terdapat beberapa faktor yang mendorong skuad Lang Merah mampu menjadi salah satu pencabar terkuat musim ini dengan permulaan rentak terbaiknya di awal saingan empat perlawanan pertama.

"Kita lihat Kedah yang kini menghuni tangga teratas Liga Super, ternyata memiliki corak serangan yang pantas serta memiliki barisan pertahanan yang berkualiti hasil dari percaturan Ketua Jurulatihnya Aidil Sharin Sahak.


Akmal Rizal Ahmad Rakhli

“Kelebihan Kedah juga adalah kerana memiliki lima import yang berada pada tahap terbaik kerana dalam saingan liga, pasukan mana yang memiliki pemain import bagus maka pasukan mampu bersaingan dalam kelompok teratas liga.. itu yang kita tengok tiap-tiap tahun berlaku.

“Setakat ini kita sudah melihat sebanyak lapan pemain Kedah termasuk semua importnya iaitu Fernando Rodriquez dan Jonatan Bauman, Shakir Hamzah, Anmar Al Mubaraki dan Renan Alves berjaya menghasilkan gol dan itu satu lagi faktor kerana untuk menjadikan satu pasukan yang baik, kita memerlukan ramai pemain yang mampu menjaringkan gol dan itulah yang berlaku dalam pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) sebelum ini dan kini berlaku dalam skuad Kedah,” katanya.

Selain Kedah, Akmal turut menjangkakan saingan sengit yang akan ditampilkan oleh juara liga super lima kali berturut-turut JDT yang dibarisi jentera serangan import yang hebat musim ini seperti penyerang licik Diogo Luis Santo yang terlebih dahulu mencetak nama di kelab Buriram United Thailand, selain pemain tengah berpengalaman Leandro Velazquez dan Gonzalo Cabrera.

Ini diikuti skuad Pahang dengan barisan pemain yang hebat seperti Dickson Nwakaeme yang dikenali sebagai 'orang besi' dan Ze Love yang merupakan seorang penyerang yang pernah beraksi bersama bintang Brazil, Neymar Jr selama dua musim pada 2010 dan 2011 ketika bermain untuk pasukan Santos.


Pemain Import Pahang, Dickson Nwakaeme mempunyai ketajaman penyudah.

Manakala PKNS FC yang kini berada di kedudukan keempat juga mengancam dengan kehebatan penyerang berbisanya dari Liberia iaitu Kpah Sherman yang telah membuktikan ketajamannya dengan jaringan gol seawal minit kedua perlawanan sewaktu menewaskan PKNP FC minggu lalu.

"Inilah empat pasukan yang saya jangkakan boleh bersaing dengan lebih jauh dalam saingan Liga Super musim ini sekiranya pasukan-pasukan itu dapat mengekalkan momentum serta prestasi semasa masing-masing secara berterusan.""Untuk menjadikan sebuah pasukan itu lebih konsisten dalam perjalanan liga yang panjang, pemain dibangku simpanan juga harus menunjukkan komitmen yang tinggi dan mesti memiliki kemampuan setanding dengan pemain utama apabila beraksi." katanya.Akmal Rizal sebelum ini telah meletak jawatan selaku Jurulatih skuad bawah 17 tahun (B-17) Singa Utara ekoran isu bayaran gaji sejak tiga bulan membimbing pasukan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 3:12 PM