VIVIAN (kanan) dan Cheng Wen tewas pusingan pertama kepada beregu Thailand.
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my

TANGAN lembik, pertahanan lemah. Itu kesimpulan dapat dibuat terhadap wakil beregu wanita negara yang beraksi di dua kejohanan di Eropah, Masters Sepanyol dan Terbuka Jerman.

Aspek berkenaan turut diakui Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann sekali gus membayangi pencapaian cemerlang bahagian lain apabila tujuh wakil mara ke suku akhir Terbuka Jerman.

Menurut bekas perseorangan lelaki negara itu, beliau sudah pun berbincang dengan ketua jurulatih beregu wanita, Rosman Razak dan akan melakukan penilaian semula.

"Kedua-dua kami sudah bersetuju, antara kelemahan pemain beregu wanita negara adalah dari segi kekuatan tangan, ia seperti kurang daya hentakan. Rosman juga bersetuju dengan apa saya sampaikan," katanya ketika dihubungi Harian Metro semalam.

Tujuh wakil negara berjaya mara ke suku akhir Terbuka Jerman semalam, mereka termasuklah Lee Zii Jia, Soong Joo Ven (perseorangan lelaki), Goh Jin Wei (perseorangan wanita), Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (beregu lelaki) dan Goh Soon Huat-Shevon Lai (beregu campuran).

"Saya harap selepas ini pemain beregu wanita kita dapat memperkuatkan lagi kekuatan tangan mereka dan melakukan pukulan lebih padat. Mereka juga harus mempunyai kelebihan dari segi corak bertahan.”

Bagi aspek lain saya rasa sudah mencukupi termasuk strategi perlawanan," kata Choong Hann. Ujarnya, pemain beregu wanita negara hanya mempuyai sedikit kekurangan berbanding beberapa pasangan terbaik dunia yang lain.

"Kita sentiasa melakukan perbandingan terutama dengan pasangan Jepun dan Korea Selatan, banyak elemen perlu dipelajari dan kelemahan harus diatasi," katanya.

Perjuangan beregu wanita di Terbuka Jerman berakhir sejak di pusingan pertama apabila Vivian Hoo-Yap Cheng Wen kalah kepada wakil Thailand, Puttita Supajirakul-Sapsiree Taerattanachai, manakala semalam Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean tumpas di pusingan kedua kepada Baek Ha Na-Kim Hye Rin (Korea Selatan).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 10:00 PM