AZIZULHASNI duduki tempat ketujuh keseluruhan di Kejohanan Trek Dunia 2019.
Azlan Muhammad Zain

LALUAN ke Olimpik Tokyo menerusi acara keirin kelihatan ‘terjamin’ untuk jaguh negara, Azizulhasni Awang selepas menamatkan saingan di kedudukan ketujuh keseluruhan di Kejohanan Trek Dunia 2019.

Ia diakui sendiri The Pocketrocketman kerana bakal mengukuhkan kedudukan Malaysia yang berada di tempat keempat ranking Olimpik keirin yang kini sudah mengumpul 2185 mata dengan pencapaian di Poland masih belum dikira.

"Peluang untuk melayakkan diri menerusi keirin sudah terang jalannya nmaun saya akan terus fokus bagi mengutip sebanyak mungkin mata pada musim hadapan," katanya.

Kutipan mata ke Tokyo akan berlangsung untuk siri Piala Dunia 2019/2020 sehingga Kejohanan Trek Dunia di Denmark pada Mac tahun depan.

"Nasib tidak menyebelahi saya kali ini (kemalangan dalam acara keirin) namun itulah hakikat sukan berprestasi tinggi, semuanya boleh berlaku.

“Walaupun sedikit kecewa tidak ke final namun kejayaan memenangi perlumbaan kedudukan 7-12 memberikan sedikit senyuman terutamanya dengan mata berganda ditawarkan," jelasnya.

Bagaimanapun, pemenang gangsa Olimpik Rio berkenaan menjelaskan tiada kecederaan serius dialami dan menyifatkan ia sudah lumrah dalam sukan berbasikal trek.

"Banyak yang perlu diperbaiki dan dipertingkatkan. Perancangan adalah untuk mencapai kemuncak di Tokyo dengan setiap peningkatan perlu dilakukan dan diatur dengan terperinci bagi memastikan tidak berada di tahap kemuncak terlalu awal," katanya.

Dia bagaimanapun enggan mengulas mengenai peluang skuad pecut berpasukan melangkah ke Tokyo selepas gandingannya bersama Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Fadhil Zonis menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua tercorot dari 16 pasukan.

Manakala bagi pecut individu, impak kemalanga dialaminya dalam acara keirin menyebabkan dia tidak dapat memberikan aksi terbaik apabila gagal berada dalam kelompok 28 terbaik untuk mara ke pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 10:57 PM