MUSLIFAH (kiri), Nur Suryani (tengah) dan Nur Ayuni memfailkan saman terhadap ISN di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
MUSLIFAH (kiri), Nur Suryani (tengah) dan Nur Ayuni memfailkan saman terhadap ISN di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Meor Riduwan Meor Ahmad

TIGA bekas atlet menembak Program Podium sedia bertemu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara, Ahmad Faedzal Md Ramli berhubung kes saman terhadap badan sukan itu.

Muslifah Zulkifli berkata, ia bertujuan memberi penjelasan kepada Ahmad Faedzal yang baru dilantik ke jawatan itu dan tidak mengetahui secara menyeluruh kes saman berkenaan.

Hakikatnya dia bersama rakannya, Nur Suryani Taibi dan Nur Ayuni Farhana Abdul Halim belum meletakkan nokhtah dan masih terbuka untuk penyelesaian kes itu secara baik.

"Nampaknya beliau (Ahmad Faedzal) memang tidak tahu tidak tahu (kes saman) kerana baru jadi CEO. Jadi kami bersama peguam sedia untuk bertemu bagi membincangkan lebih lanjut kes saman itu," katanya dihubungi Arena Metro, semalam.

Arena Metro, sebelum ini melaporkan Ahmad Faedzal tidak mengetahui lanjut berhubung kes saman difaikan ketiga-tiga atlet terbabit termasuk ruang untuk penyelesaian di luar mahkamah.

Mengulas lanjut, Muslifah berkata, ketika pengurusan kes saman itu minggu lalu, peguam mereka, Mohd Azlan Mashod memaklumkan tidak menerima sebarang arahan baru daripada ISN.

"Peguam kami maklumkan setakat ini, melalui penguam cara ISN, mereka akan teruskan dengan perbicaraan sebab tiada arahan daripada Ketua Pegawai Eksekutif ISN atau pihak berkaitan untuk penyelesaian di luar mahkamah.

"Saya difahamkan mahkamah akan tetapkan tarikh lain untuk perbicaraan dalam masa dua minggu lagi. Namun, kami masih tunggu dan tidak kisah untuk teruskan dengan perbicaraan penuh atau nak selesai di luar mahkamah. Jika ISN nak teruskan dengan perbicaraan, kita akan teruskan sebab peguam kata tiada masalah," katanya lagi.

Muslifah berkata, pada masa sama mereka berharap tiada pihak akan menuding jari terhadap mereka selepas ini jika kes saman itu diselesaikan secara perbicaraan penuh.

Untuk rekod, Muslifah, Nur Ayuni Farhana dan Nur Suryani Taibi memfailkan saman terhadap ISN di Mahkamah Kuala Lumpur pada 30 Oktober 2017. Saman difailkan bertujuan membersih imej mereka yang tercalar selepas mendakwa digugurkan daripada Program Podium mengikut cara salah dan menyalahi perjanjian yang sepatutnya.

Bagaimanapun, kes saman itu ditolak Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum mereka merayu di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan itu. Nasib menyebelahi mereka apabila pada 31 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan kes itu untuk menjalani perbicaraan penuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 11:44 PM