Aqil (kanan sekali) bersama pemenang acara pecut 60 meter Kejohanan Olahraga Antarabangsa Dalam Dewan di Tehran.

HANYA 0.05 saat memisahkan impian pelari pecut negara, Mohammad Aqil Yasmin untuk merangkul pingat emas acara pecut 60 meter (m) di Kejohanan Olahraga Antarabangsa Dalam Dewan yang berlangsung di Stadium Aftab Enghelab, Tehran, Iran, semalam.

Jaguh pecut Sukan Malaysia (SUKMA) 2018, berusia 22 tahun itu, sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa dengan catatan 6.75 saat (s) dalam acara di dominasi peserta tuan rumah menerusi Reza Qasemi dan Mehran Hosseini masing-masing mencatat 6.70s.

Mohammad Aqil berkata, dia berpuas hati dengan pencapaiannya dalam kejohanan yang julung kali disertainya itu.

"Ini adalah pengalaman baru buat saya. Tambahan pula terpaksa bersaingan dengan peserta yang jauh lebih berpengalaman bertanding dalam acara sukan dalam dewan," katanya.

Bagi kategori wanita pula, wakil negara Siti Fatimah Mohamad dan S Komalam Shally masing-masing memungut pingat perak dan gangsa bagi acara pecut 60m.

Acara itu dimenangi pelari dari Iraq, Danah Al- Khafaji yang mencatat 7.50s sementara Siti Fatimah ketinggalan 0.06 saat di belakang dan Komalam mencatat 7.63s.

Kejohanan selama dua hari itu disertai lebih 180 atlet dari lapan negara seperti Oman, Syria, Turki, Iraq, Afghanistan, Kuwait, Iran dan Malaysia sebagai peserta jemputan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 3:46 PM