AZEEM (kiri) catat 10.69 saat untuk meraih emas di Filipina.
Azlan Muhammad Zain

ATLET muda negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi meletakkan misi untuk muncul pelari pertama mencatat masa bawah 10 saat dalam acara 100 meter.

Atlet berusia 15 tahun dari Perak itu melakar kejutan apabila memenangi emas 100m dengan masa 10.69 saat di Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara di Filipina dan melakar rekod baru temasya.

"Ia satu kejayaan saya sendiri tidak jangka kerana kejohanan di Filipina adalah yang pertama tahun ini. Peringkat awal saya hanya mahu melangkah ke final namun rezeki menyebelahi saya.

"Semestinya saya mahu menjadi lebih baik apabila melangkah ke peringkat lebih tinggi nanti. Saya meletakkan sasaran untuk muncul atlet 100m pertama negara melakukan catatan bawah 10 saat," katanya.

Rekod 100m negara masih dipegang raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan dengan masa 10.18s yang dilakukannya pada final Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 di Stadium Sarawak.

“Saya merasakan sudah bersedia untuk berlari bersama pelumba utama negara kerana ia bakal membantu diri sendiri dalam aspek pengalaman dan lebih matang," jelasnya.

Kejayaan Azeem pada kejohanan yang menampilkan pelumba bawah 18 tahun, menceriakan banyak pihak terutamanya Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang melihat potensi besar dimiliki pelajar SMK Gunung Rapat di Ipoh itu.

Menurut KOM, catatan dilakukannya menjadikan dia pelari keempat terpantas Malaysia tahun ini.

"Saya rasa buat masa sekarang adalah lebih baik kekal berlatih di Perak berbanding di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) atau Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI). Banyak lagi ilmu yang saya boleh dapat di tempat sendiri," tambahnya.

Bagaimanapun, dia tidak menolak sekiranya sudah bersedia dan mendapat tawaran untuk berada di dua sekolah sukan utama negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 8:33 PM