SHAH Firdaus (kiri), Azizulhasni (tengah) dan Fadhil hanya mampu menduduki tempat ke-15 di Kejohanan Trek Dunia di Poland.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@mediaprima.com.my

KETUA jurulatih negara, John Beasley mengakui peluang trio pecut berpasukan layak ke Sukan Olimpik Tokyo kini tipis susulan prestasi hambar di Kejohanan Trek Dunia, Poland, beberapa hari lalu.

Malaysia yang menampilkan Azizulhasni Awang, Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Fadhil Zonis menamatkan saingan pada kedudukan ke-15 dari 16 pasukan bertanding, jauh tersasar daripada sasaran untuk berada dalam kelompok lapan terbaik.

Sekiranya tidak layak menerusi pecut berpasukan, impian Shah Firdaus dan Fadhil untuk bersaing di Olimpik Tokyo tidak akan kesampaian.

"Saya tidak gembira dengan prestasi pecut berpasukan namun ia sudah berlaku. Azizulhasni sudah menjalankan tugasnya mempamerkan permulaan sempurna namun Shah Firdaus mengharungi hari yang sukar apabila melakukan beberapa kesilapan teknikal sehingga gagal mengikuti rentak.

“Namun inilah sukan, ia berlaku dengan kami mempunyai atlet muda yang masih proses pembelajaran untuk matang dari setiap pengalaman. Anda boleh saksikan sendiri kemampuan mereka apabila semuanya berjalan seperti dirancang (perak Sukan Asia 2018).

“Pasukan mempunyai seorang pelumba berpengalaman (Azizulhasni) dan dua atlet muda (Shah Firdaus dan Fadhil) yang masih dalam proses pembelajaran. Ia punca kenapa kita masih kurang pada tahap ini," jelasnya.

Bagaimanapun menurut jurulatih berpengalaman dari Australia itu, isu utama adalah pelumba negara tidak mempunyai kekuatan yang mencukupi dan mereka masih dalam peringkat membinanya.

"Ia mengambil masa kerana atlet Malaysia adalah kecil (fizikal) dibandingkan dengan kebanyakan pelumba Eropah dan pecut berpasukan adalah berkait rapat dengan kepantasan yang hadir menerusi kekuatan. Manakala kekuatan muncul daripada jumlah otot yang anda miliki. Kami sedang menangani perkara ini," katanya.

Kejohanan di Poland menawarkan mata berganda dan kegagalan berada dalam tahap terbaik menyaksikan Malaysia yang berada di ranking ke-12 akan memberikan kesukaran kerana hanya lapan negara terbaik automatik ke Tokyo.

Kali terakhir Malaysia layak ke Olimpik menerusi pecut berpasukan adalah pada edisi 2008 di Beijing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 12:08 AM