LIEW Daren. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
LIEW Daren. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Ferzalfie Fauzi


BEKAS juara Seluruh England 2003, Hafiz Hashim mengaku peluang Liew Daren untuk mara lebih jauh di kejohanan berkenaan agak sukar kerana dia baru pulih daripada kecederaan dan tidak turun gelanggang sejak Masters Malaysia, Januari lalu.

Menurutnya, sudah banyak kejohanan terpaksa diketepikan Daren sebelum ini dan peluang wakil tunggal negara dalam acara perseorangan lelaki itu sangat tipis.

“Daren kalau berada dalam tahap terbaik (tanpa kecederaan) saya yakin dia mampu beraksi dengan cemerlang dan akan melakar kejutan,” kata Hafiz yang kini melatih Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

Jelas pemenang pingat emas Sukan Komanwel Manchester 2002 itu, musuh utama Daren nanti adalah tahap kecederaannya sendiri dan bukan pemain lawan.

“Kecederaan itu sedikit-sebanyak bakal mengganggu permainannya. Bagaimanapun, ia juga akan memberi kelebihan buatnya kerana bermain tanpa perlu memikirkan keputusan dan tiada tekanan. Dia akan beraksi seperti biasa manakala lawan pula mungkin akan memandang rendah keupayaannya dan di situlah Daren harus mengambil kesempatan,” kata Hafiz.

Daren memulakan aksi musim ini dengan agak cemerlang apabila mara ke separuh akhir Masters Malaysia dan menantinya di pusingan pertama Seluruh England esok ialah wakil dari Thailand, Suppanyu Avihingsanon.

Hafiz yang dihubungi semalam, terkilan kerana tiada wakil perseorangan lelaki dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Memang Daren juga mewakili negara, tapi pemain BAM boleh dianggap sebagai ‘pemain kebangsaan’ nanti orang akan bertanya mana wakil Malaysia,” katanya.

Satu-satunya peluang buat wakil BAM beraksi dalam undian utama ialah melalui Lee Zii Jia yang diletakkan sebagai wakil simpanan nombor satu, namun dia perlu mengharapkan mana-mana pemain lain menarik diri.

Sementara itu, Daren yang sekarang ini berada di England, mengakui dia masih lagi belum membuat keputusan sama ada akan turun beraksi atau tidak esok.

“Kalau dalam beberapa hari ini kecederaan di kaki saya tidak berulang, saya akan turun beraksi. Sekarang saya masih belum dapat sahkan,” katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 7:00 AM
Digital NSTP Subscribe