ANUGERAH buat Pendatang Baharu Terbaik Jelajah PGA. Gambar kecil: Arnold Palmer. FOTO Reuters/PGA Tour
ANUGERAH buat Pendatang Baharu Terbaik Jelajah PGA. Gambar kecil: Arnold Palmer. FOTO Reuters/PGA Tour
Reuters

ANUGERAH Pendatang Baharu Terbaik Jelajah PGA kini dinamakan sempena mendiang Arnold Palmer, salah seorang pemain golf terhebat dunia yang popularitinya menarik sejumlah besar peminat terhadap sukan berkenaan.

Anugerah Arnold Palmer akan diberikan kepada pendatang baharu paling menyerlah dalam sirkit golf, menerusi undian ahli Jelajah terbabit.

“Arnold Palmer adalah duta terbaik golf dengan gaya permainan tersendiri, suka membuat kebajikan dan menunjukkan minat mendalam terhadap sukan itu dan peminatnya,” kata Pesuruhjaya Jelajah PGA Jay Monahan dalam satu kenyataan hari ini.

“Isyarat bagus, kenyit mata, tandatangan otograf yang teliti, ucapan terima kasih -setiap sapaan yang dibuat oleh Palmer kepada jutaan pemain muda membantu mereka membentuk karakter, di dalam dan luar lapangan golf.

“Anugerah Arnold Palmer kini menggambarkan sumbangan itu sebagai menghormati pendatang baharu paling menyerlah.”

Palmer yang ledakan popularitinya menarik jutaan peminat sukan itu pada permulaan era sukan di televisyen meninggal dunia pada September 2016 akibat komplikasi jantung pada usia 87.

Beliau masih berada di ranking kelima terbaik dalam senarai kemenangan terbanyak Jelajah PGA sepanjang zaman, termasuk tujuh kejohanan major.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 12:18 PM