SHAH Firdaus tekad bangkit daripada kekecewaan di Poland.
Azlan Muhammad Zain

"SEBENARNYA pegawai yang memegang basikal tidak melakukannya dengan betul kerana saya dalam keadaan senget dan bergoyang. Kesilapan saya tidak menyuarakannya untuk membolehkan perlumbaan bermula semula, maksudnya meneruskan perlumbaan dalam keadaan permulaan tidak sempurna,” kata pelumba trek negara, Shah Firdaus Sahrom.

Dia mengambil tanggungjawab terhadap kesilapan dirinya yang memberi kesan besar kepada Malaysia untuk memburu slot ke Olimpik Tokyo dalam acara pecut berpasukan.

“Sekali kesilapan berlaku dalam pecut berpasukan, semuanya akan musnah dan saya mengambil tanggungjawab terhadap perkara ini," katanya.

Walau bagaimanapun dia tetap bersikap positif untuk terus mencuba bagi memastikan Malaysia dapat layak dalam acara berkenaan selepas muncul antara pasukan tercorot di Kejohanan Trek Dunia, Poland, minggu lalu.

Jelas pelumba kelahiran Johor itu, gandingannya bersama Azizulhasni Awang dan Mohd Fadhil Zonis perlu konsisten dalam baki kejohanan yang ada untuk meraih mata sebanyak mungkin.

Ketua jurulatih negara, John Beasley mengakui peluang kini tipis selepas trio itu menamatkan saingan di Poland pada kedudukan ke-15 dari 16 pasukan bertanding dengan Shah Firdaus sebagai salah seorang pelumba yang muda melakukan beberapa kesilapan teknikal.

Kali terakhir Malaysia mara ke Olimpik menerusi pecut berpasukan adalah pada edisi 2008 di Beijing menerusi gandingan Azizulhasni, Josiah Ng dan Mohd Rizal Tisin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 10:16 PM