MAURICIO Pochettino. FOTO Reuters
AFP

Pengendali Tottenham Mauricio Pochettino mengucapkan tahniah kepada pasukannya kerana bertahan dengan amukan awal Borussia Dortmund sebelum menewaskan pendahulu Bundesliga 1-0 awal pagi tadi dan kemenangan agregat 4-0 pada aksi 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Gol Harry Kane pada awal separuh masa kedua mengesahkan tiket Spurs ke suku akhir buat kali pertama sepanjang kendalian Pochettino selama lima tahun namun hanya aksi cemerlang Hugo Lloris sebelum tamat separuh masa pertama menafikan peluang Dortmund.

“Ia menakjubkan. Tugas selesai, kami di suku akhir,” kata Pochettino.

“Saya fikir ia kemenangan yang penting malam ini. Pada separuh masa pertama kami agak menderita tetapi bola sepak adalah penderitaan bersama dan kami berhak mara ke suku akhir.

“Hugo begitu hebat. Kami mensia-siakan banyak peluang daripada yang diharapkan tetapi itulah bola sepak. Inilah perlawanan di mana kemenangan 3-0 pada aksi pertama menjadi begitu sukar. Mereka tidak boleh kehilangan apa-apa.”

Jaringan ke-14 Kane dalam 17 penampilan Liga Juara-Juara turut menjadikannya penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab itu di pentas Eropah.

Selepas tersingkir pada peringkat kumpulan dua tahun lalu dan kelompok 16 terakhir kepada Juventus musim lalu, Kane berharap dapat mara lebih jauh dalam kejohanan itu.

“Perlawanan seperti ini sentiasa sukar, anda tidak tahu sama ada mahu bertahan atau menyerang. Lelaki ini (Lloris) berjaya menyelamatkan percubaan lawan dengan cemerlang dan pada separuh masa kedua, kami merebut peluang terhidang,” kata kapten England itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 8:16 AM