MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Meor Riduwan Meor Ahmad

KERAJAAN meluluskan peruntukan RM17 juta kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk pembinaan Stadium Ragbi Negara di Presint 14, Putrajaya.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pembinaan stadium itu yang tertangguh beberapa tahun sebelum ini akan dilaksanakan di tapak berkeluasan 6.5 hektar dan kerja-kerja fizikal dijangka bermula November depan.

Menurutnya, peruntukan disalurkan itu merangkumi pembinaan dua padang ragbi mengikut spesifikasi pertandingan dan latihan, lampu limpah berkuasa 1,200 lux, bilik persalinan serta beberapa kemudahan lain.

"KBS kini sedang dalam proses mengemukakan pindaan lokasi projek kepada Unit Perancang Ekonomi, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi mengenai pemindahan semula lokasi projek dari Kuala Lumpur Sport City (KLSC) ke Putrajaya," katanya menerusi satu kenyataan dikeluarkan KBS di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Syed Saddiq berkata, KBS melalui Majlis Sukan Negara (MSN) bersetuju menempatkan pasukan ragbi wanita 7 sebelah kebangsaan dari sistem Tier 4 ke Tier 3 sekali gus menjadikan mereka pemain yang akan menerima elaun, latihan serta beberapa kemudahan atlet sepenuh masa.

"KBS juga komited melaksanakan program latihan intensif bagi persediaan pasukan ragbi wanita 7 sebelah kebangsaan ke Sukan Sea Manila 2019 dengan syarat semua pemain mendapat pelepasan sepenuh masa daripada majikan masing-masing.

"Inisiatif ini membuktikan KBS sentiasa menyokong agenda pemerkasaan wanita khususnya dalam bidang sukan yang mampu menarik minat untuk membabitkan diri serta memainkan peranan ke arah pembangunan sukan tanah air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 8:27 PM