PEDRO meledak gol pertama Chelsea menentang Dynamo Kiev di London. — FOTO Reuters
AFP

CHELSEA membenam Dynamo Kiev untuk menguasai aksi pusingan 16 terakhir Liga Europa ketika gol daripada Pedro Rodriguez, Willian dan Callum Hudson-Odoi membantu tuan rumah menang 3-0 di Stamford Bridge, awal pagi tadi.

Kelab London itu mungkin perlu memenangi pertandingan itu untuk memastikan kembali ke Liga Juara-Juara musim depan ketika mereka kini menghuni tangga keenam Liga Perdana Inggeris dan menepati status mereka sebagai pasukan pilihan kejohanan itu menentang kelab Ukraine.

Pedro merembat masuk tolakan tumit Olivier Giroud untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-17 dan hanya tindakan cemerlang penjaga gol Denys Boyko menyelamatkan Kiev daripada dibolosi lagi sebelum rehat.

Bagaimanapun, sepakan percuma cantik Willian pada minit ke-65 dan jaringan pemain gantian Hudson-Odoi pada minit terakhir menjadi justifikasi susulan dominasi tuan rumah.


WILLIAN (kiri) meraikan gol keduanya bersama Ruben Loftus-Cheek. — FOTO Reuters

“Kami mungkin boleh menjaringkan lebih banyak gol terutama pada babak pertama tapi keputusan ini bagus,” kata pengurus Chelsea, Maurizio Sarri.

“Kami berjaya mengelak dibolosi gol di laman sendiri, sesuatu yang amat penting dalam pertandingan ini.

“Kami perlu pergi ke sana dengan tahap tumpuan yang bagus dan strategi terbaik jika mahu terus mara.”

Kemenangan ketiga berturut-turut mengekalkan momentum Chelsea dan sesuatu yang amat diperlukan Sarri, yang kelihatan berada di ambang pemecatan hanya beberapa minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 7:38 AM