IRFAN harap  kualiti Kasut Emas ditambah baik   demi memelihara prestijnya. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
IRFAN harap kualiti Kasut Emas ditambah baik demi memelihara prestijnya. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Lumpur: Beri hadiah Kasut Emas berkualiti atau tidak perlu adakan anugerah langsung.

Itu pendapat jurulatih bola sepak berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim mengenai isu Kasut Emas ‘cabuk’ seperti didedahkan beberapa bekas penerima trofi khusus bagi penjaring terbanyak Liga Malaysia.

Menurutnya, beliau memang sedar isu kualiti Kasut Emas yang dikatakan dibuat menggunakan but asli dan hanya dicat warna keemasan.

Namun, beliau amat berharap Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selaku penganjur anugerah itu serius terhadap luahan pelbagai pihak khasnya bekas penerima dan menambah baik kualiti Kasut Emas pada masa depan demi memelihara prestijnya.

“Tiga bekas pemain saya pernah dapat Kasut Emas, iaitu Mohd Nizaruddin Yusof pada 2009, Mohd Ashari Samsudin (2010) dan Abdul Hadi Yahya pada 2011. Masa itu (liga) kita tidak guna pemain import.

“Tahun pertama lagi, bila saya lihat dan pegang Kasut Emas itu, memang berat, tapi kualiti kasut itu sendiri diragui.

Saya katakan (kepada pemain), sebulan dua lagi pudarlah warnanya, tapi tidak keluarkan apa-apa kenyataan,” katanya dihubungi Arena Metro, semalam.

Bulan lalu akhbar ini mendedahkan kualiti trofi Kasut Emas Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) boleh dipertikaikan berikutan ada yang sudah rosak kerana ia hanya but bola biasa yang disembur warna keemasan untuk dihadiahkan kepada penjaring terbanyak liga.

Antara pemenang Kasut Emas yang tidak bernasib baik ialah Mohd Nizaruddin Yusof, Mohd Ashari Samsudin dan Haris Safwan Kamal.

Lebih mengejutkan seorang bekas pegawai bola sepak yang sebelum ini bertanggungjawab penuh menguruskan anugerah berprestij itu mendedahkan kos pembuatan Kasut Emas yang dianugerahkan kepada penjaring terbanyak Liga Malaysia tidak sampai RM1,500 berbanding RM30,000 bagi menghasilkan plak berkualiti dan berprestij.

Sehubungan itu, Irfan Bakti bersetuju jika hadiah iringan wang tunai turut diberikan bersama trofi Kasut Emas sebagai mengiktiraf jerih payah pemain berusaha muncul penjaring terbanyak.

“Jadi, saya rasa mereka hanya dapat Kasut Emas yang tidak berkualiti, hanya terletak pada nama selaku penjaring terbanyak.

“Sekurang-kurangnya penjaring utama berilah sikit duit di samping hadiah Kasut Emas itu, orang kata buat yang berkualiti dan tahan lama walau bukan emas tulen, kalau tidak tak payah buatlah...mengarut saja,” katanya sambil mengakui sedih mengetahui ada Kasut Emas diterima pemain rosak.

Sementara itu, Irfan Bakti turut menyokong saranan legenda bola sepak Kelantan, Hashim Mustapha supaya bekas pemenang turut dijemput ke ABK sebagai penyampai anugerah.

“Ya betul juga, seingat saya masa dia menang Kasut Emas terpaksa bersaing pemain asing. Panggillah empat atau lima orang bekas penjaring utama ke majlis anugerah itu, setidak-tidaknya boleh beri motivasi kepada pemain baru,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 7:29 AM