AARON Chia-Soh Wooi Yik melangkah ke separuh akhir saingan Seluruh England menewaskan juara dunia, Zhang Nan-Liu Cheng pada aksi suku akhir awal pagi tadi. FOTO Reuters
Saiful Affendy Sapran


KUALA LUMPUR: Kejutan besar dilakar beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila melangkah ke separuh akhir saingan Seluruh England dengan menewaskan juara dunia, Zhang Nan-Liu Cheng pada aksi suku akhir awal pagi tadi.

Gandingan muda negara itu yang tidak diletakkan sebarang harapan bagaimanapun terpaksa berhempas pulas sebelum dapat menewaskan lawan mereka dari China itu 21-19, 17-21, 21-12 dalam tempoh 63 minit.

Pada aksi separuh akhir hari ini, gandingan negara itu akan bertemu pilihan kelapan dari Indonesia, Muhammad Rian Ardianto-Fajar Alfian.

Terdahulu, beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai turut melakukan kejutan apabila mara ke separuh akhir selepas mengatasi pilihan kedua kejohanan, Wang Yilhu-Huang Dongping.

Soon Huat-Shevon yang juga tidak diletakkan sebagai pasangan pilihan terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan lawan mereka dari China itu 13-21, 22-20, 21-18.

Pada aksi separuh akhir hari ini, gandingan negara itu bakal bertemu pilihan ketiga kejohanan dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 7:50 AM