Soon Huat-Shevon tewas kepada gandingan Jepun. FOTO AFP
Saiful Affendy

Kuala Lumpur: Perjuangan beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai di saingan Seluruh England berakhir selepas tewas pada aksi separuh akhir, hari ini.

Tidak seperti sebelumnya, Soon Huat-Shevon seolah tidak mempunyai jawapan untuk mematikan langkah lawan mereka yang juga pilihan ketiga dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino.

Gandingan negara itu tewas 16-21, 13-21 pada perlawanan yang berlangsung selama 37 minit di Arena Birmingham itu.

Bagaimanapun kejayaan mereka mara sehingga ke separuh akhir di pentas berprestij itu dengan status pasangan bukan pilihan wajar diberikan pujian.

Terdahulu, beregu profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong gagal meneruskan kemaraan selepas tersingkir di suku akhir.

V Shem-Wee Kiong tewas 20-22, 12-21 di tangan pasangan Indonesia Muhammad Rian Ardianto-Fajar Alfian.

"Umpire perlawanan sedikit sebanyak menjejaskan rentak permainan kami terutama dalam peraturan mengambil servis.

"Bukan bermakna saya kalah kerana faktor kesalahan melakukan servis.

Tetapi kesalahan saya itu dilihat agak keterlaluan oleh umpire," kata V Shem. Selepas ini V Shem- Wee Kiong dijangka beraksi pada Terbuka India hujung bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 8:54 PM